Wednesday, September 3, 2008

Wahai Pak Lah

Ini di ambil daripada chedet.com daripada seorang commentor. isinya menarik dan saya masukkan di sini supaya dapat di baca...


By muja on August 31, 2008 10:52 PM

Surat Terbuka Untuk Perdana Pak Lah dan keluarga
(Sempena Ramadan Al Mubarak)

YAB Pak Lah dan Keluarga,

Semasa kerajaan BN tercari-cari seorang Timbalan Perdana Menteri ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya secara peribadi berpendapat dan berkeyakinan bahawa Pak Lah adalah tokoh yang paling layak mengisi kekosongan tersebut atas beberapa sebab. Sebab yang utama ialah kerana Pak Lah dilihat sebagai seorang yang 'beragama' di kalangan pemimpin yang ada. Ini adalah penting memandangkan pada masa itu, pengaruh dan tekanan daripada rakyat yang sedang tercari-cari haluan dan alternatif ekoran senario politik tanahair ketika itu. Apabila Pak lah dipilih oleh Tun Mahatir, saya gembira dan faham dengan keputusan yang dibuat walaupun saya percaya bahawa Datuk Seri Najib adalah seorang ahli politik UMNO yang begitu berkebolehan dan mempunyai sentuhan yang menjadi. Saya percaya bahawa hak Datuk Seri Najib perlu diketepikan buat sementara waktu sehingga keadaan pulih.

2. Apabila Pak Lah mengambil alih jawatan Perdana Menteri ramai di kalangan rakyat berpendapat bahawa dasar-dasar kukuh yang telah disediakan akan menjadikan pemerintahan Pak Lah kuat. Dengan itu rakyat telah memberikan undi yang lebih besar dalam pilihanraya yang telah dijalankan pada tahun 2004. Malangnya kemenangan itu telah disalahtafsir oleh Pak Lah sebagai penerimaan rakyat terhadap populariti Pak Lah.

3. Selepas Pak Lah memenangi pilihanraya tersebut dengan undi yang besar, saya percaya Pak lah tersalah tafsir penerimaan rakyat terhadap BN. Ianya bukan kerana populariti Pak Lah. Dengan itu bermulalah perubahan-perubahan dasar kerajaan yang begitu mendadak sedangkan rakyat mengundi BN kerana dasar-dasar kukuh yang telah disediakan oleh kerajaan BN terdahulu( saya tidak suka menyebut 'dasar Tun Dr Mahatir' kerana saya sedia tahu betapa paranoidnya Pak Lah apabila Pak Lah sering dibandingkan dengan Tun Dr Mahatir).

4. Saya dan ramai lagi percaya bahawa Pak Lah telah dipengaruhi oleh orang di sekeliling tentang kekuatan Pak Lah. Dengan itu bermulalah perubahan-perubahan yang mengelirukan rakyat . Ini termasuklah pertukaran dan pemecatan jawatan mereka yang berkebolehan untuk menampung orang-orang Pak Lah. Mereka ini telah banyak merosakkan imej Pak lah.

5. Pak Lah sering cuba melakukan sesuatu yang popular di mata pihak lain dan menyakiti hati dan jati diri rakyat sendiri. Saya teringat ketika menghadiri mesyuarat perwakilan UMNO di mana, kami diberi arahan sebelum mesyuarat bermula supaya tidak membincangkan isu Jambatan Indah atas arahan Pak Lah sendiri. Ramai yang berpendapat bahawa 'orang' Pak Lah mendapat habuan ekoran pembatalan jambatan tersebut dan kami pula dikunci mulut seperti orang yang tidak bermaruah.

6. Pak Lah sering mengatakan bahawa Pak lah mengamalkan dasar memberikan kebebasan kepada rakyat untuk bersuara. Apa yang berlaku ialah kebebasan yang dimaksudkan adalah bagi mereka yang menyokong Pak Lah dan mengkritik Tun Dr Mahatir habis-habisan. Walhal, rakyat ingin mendengar pandangan Tun Dr Mahatir (perlu diingat hampir dua tahun Tun mendiamkan diri). Satu lagi kebebasan yang Pak Lah berikan ialah kebebasan kepada rakyat yang berbilang kaum mengkritik antara satu sama lain sehingga perpaduan rakyat pada hari ini berada pada tahap paling rendah sejak 13 Mei tahun 1969. Ianya telah retak dan hanya menanti belah. Rakyat berada dalam keadaan yang amat runsing. Apa gunanya kebebasan sekiranya kita curiga mencurigai antara satu sama lain dan akhirnya kita melakukan perkara yang di luar kawalan?

7. Kekalahan calon BN di Permatang Pauh dengan jelas menunjukkan penolakan rakyat terhadap Pak lah. Sebelum itupun ramai calon BN yang kecundang dalam pilihanraya yang lalu. Tidakkah Pak Lah merasa bersalah? Jika Pak Lah tidak melepaskan jawatan sekarang, sudah tentu BN tidak akan membentuk kerajaan selepas pilihanraya yang akan datang. Datuk Seri Najib pula akan hanya menjadi ketua pembangkang di dalam Perlimen. Janganlah memperjudikan nasib rakyat dan parti BN yang telah meletakkan Pak Lah ditempat sekarang. UMNO dan BN tidak bersalah. Janganlah menghukum mereka.

8. Apa yang dapat kita lihat dalam pilihanraya Permatang Pauh ialah kurangnya strategi berkesan. Saya merasa kasihan kepada Datuk Seri Najib kerana beliau terpaksa berhadapan dengan segala kepayahan dan peperangan yang tidak mungkin dimenangi. Ramai ahli politik yang berceramah tetapi ada diantara mereka ini tidak popular dan dibenci oleh rakyat. Setiap kali mereka berkempen ia sebenarnya memberikan kelebihan kepada parti lawan. Ramai dikalangan mereka mempunyai populariti yang telah tamat tempoh. BN sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu tentang siapakah tokoh yang popular di dalam UMNO dan BN yang boleh menambat hati pengundi. Minta maaf sekiranya saya mengatakan bahawa Khairy Jamaluddin bukanlah popular dan ianya backfired kerana dia sendiri dianggap antara masalah dalam UMNO.

9. Kepada Khairy, ingin saya berpesan. Sudahlah, cukuplah dengan apa yang saudara ada sekarang. Janganlah beranggapan bahawa 'the sky is the limit'. Ada masanya kita kena berhenti dan merenung kembali, 'is it really worth it?' Saudarapun sudah menjadi ahli parlimen. Anak-anak Perdana Menteri terdahulu sperti Tun Razak, Tun Hussin Onn dan Tun Dr mahatir tidak mendapat seperti apa yang saudara dapat ketika ayah mereka berkuasa. Jadilah orang yang bersyukur.

10. Saya dan ramai lagi yang sedang menanti keputusan Khairy, samada akan bertanding jawatan ketua pemuda atau sebaliknya. saya berpendapat bahawa jika bertanding, Khairy melakukan kesilapan yang terbesar dalam dalam kerjaya politik dan hidupnya. Ini akan menunjukkan siapa Pak Lah sebenarnya kerana belum pernah berlaku dalam sejarah UMNO dimana Presiden adalah bapa mertua dan ketua pemuda pula adalah menantu. Ini akan melenyapkan kepercayaan terhadap Pak Lah, Khairi dan UMNO sama sekali. Pak lah mungkin tidak mahu melihat Mukriz sebagai ketua pemuda tetapi itu adalah hakikat yang terbaik untuk UMNO dan pak lah. Apabila ini berlaku barulah kebebasan dan kepercayaan dalam UMNO dikembalikan. Itupun sekiranya Pak lah mahu. Keputusan di tangan Pak Lah.


11. Pak Lah mempunyai pilihan samada untuk dikenang sebagai seorang negarawan atau sebaliknya. Fikirlah dan buatlah keputusan yang terbaik untuk UMNO, BN dan rakyat Malysia, bukannya Pak lah, Jeanne, Kamaludin, Norin dan Khairi.

Selamat berpuasa dan semoga Pak Lah dan keluarga dilindungi Allah selalu.

Ahli UMNO Telok Kemang

No comments: